Hiasan parti tidak semestinya mahal dan nampak mewah. Ia boleh dibuat dengan mudah tapi tetap memberi kemeriahan. Anda cuma perlukan sedikit masa, usaha dan imaginasi untuk membuat aksesori unik bagi mewarnai dan memberikan parti anda personaliti yang menyeronokkan.
Cipta sudut bergambar dan hiaskannya dengan aksesori menarik
Pilihkan satu tema dan hiasi satu sudut untuk bergambar di mana semua tetamu boleh merakamkan gambar mereka. Cipta keunikan dengan meletak pelbagai aksesori yang menyeronokkan seperti rambut palsu berwarna merah jambu, misai palsu, cermin mata besar, gigi drakula dan benda-benda pelik lain yang boleh dipakai semasa bergambar.
Gunakan banner yang penuh imaginatif untuk memeriahkan parti
Banner jenis kertas adalah yang paling popular tetapi anda boleh menggunakan apa jua yang sesuai dengan tema anda. Ikat beberapa barang mainan seperti dinosaur, labah-labah yang berbeza saiz, rangkaian tulang rangka, tanglung naga dan apa saja untuk menghasilkan efek yang tersendiri.
Reka cawan kertas dan peralatan makan yang bergaya
Ceriakan cawan plastik, straw, pemegang sudu dan garpu dengan membalut pita wasi pada sekeliling pinggirnya atau lekatkan pelekat untuk gaya riang. Para tetamu juga boleh melukis atau menulis sendiri cawan mereka agar nampak lebih unik misalnya menggunakan darah palsu untuk tema Dracula atau pes inai untuk tema Bollywood.