Cara mudah untuk membantu anak-anak anda mengemas bilik mereka

Galakkan anak-anak anda untuk membantu anda di sekitar rumah dan pastikan bilik mereka sentiasa kemas. Mula dengan meminta mereka mengemas bilik agar bersih dan kemas. Buat satu senarai semak untuk mereka ikuti supaya mereka boleh menanda pada setiap kerja yang telah selesai. Ajar anak-anak anda cara untuk membersih dan mengemas setiap ruangan bilik mereka. Lama-kelamaan  mereka akan melakukannya sendiri tanpa disuruh.

Mengemas katil

Latih anak-anak anda mengemas katil mereka setiap pagi. Ini membuat bilik nampak bersih! Pasang cadar jenis bersudut getah pada tilam agar mudah mereka menarik dan meratakan ke bawah supaya tiada kedutan. Mereka juga boleh menepuk bantal agar gebu, lipat selimut dan akhirnya menghampar ‘comforter’ di atasnya agar nampak lebih kemas.

Kemas semua pakaian

Tunjukkan kepada mereka cara untuk menggantung pakaian yang telah diseterika dan simpan semua pakaian bersih yang sudah dilipat di dalam almari. Pakaian yang lebih kecil seperti pakaian dalam dan stoking boleh disimpan di dalam bakul atau laci. Pakaian yang jarang dipakai boleh diletakkan di atas rak yang lebih tinggi. Selang beberapa bulan, ajak mereka bersama-sama membantu mengasingkan pakaian yang mereka sudah tidak muat dan galakkan mereka untuk menyumbang kepada badan-badan amal untuk diberikan kepada orang yang lebih memerlukan.

mainImageAlt

Simpan semua mainan

Lekat label bergambar anak patung, kereta mainan atau blok pada kotak simpanan untuk  menunjukkan kepada si kecil dengan jelas di mana setiap barang berada. Anak-anak yang lebih besar boleh melabelkan mainan mereka sendiri. Tanamkan tabiat untuk meletakkan semula semua mainan dalam bekasnya selepas bermain. Gunakan bekas plastik lutsinar dengan penutup supaya mainan yang disimpan tidak berhabuk dan untuk mengenali kandungannya dengan mudah.

Bersihkan meja belajar

Susun beberapa fail kotak di atas meja anak-anak anda untuk menyimpan buku, folder atau kertas dan gunakan bekas untuk menyusun alat-alat tulis. Tunjukkan mereka cara untuk menyimpan barang yang tidak sepatutnya berada di atas meja dan lap permukaan meja dengan kain lembap. Jangan biarkan mereka meletakkan buku-buku dan kertas di atas meja atau lantai tetapi uruskannya dengan kemas di dalam folder berlabel di atas meja atau rak.

Pastikan lantai bersih

Minta anak-anak anda untuk meletakkan pakaian kotor di dalam bakul dan bawanya ke tempat laundri untuk dicuci setiap hari. Seluar jeans dan pakaian yang boleh digunakan semula perlu diletakkan di atas rak dan tuala yang lembap mesti dikeringkan pada rel tuala di bilik mandi.

Buat jadual waktu mengemas mingguan

Anak-anak yang lebih besar boleh membantu membersihkan habuk dan vakum bilik, mengosongkan tong sampah dan menukar cadar dan selimut setiap minggu. Apabila anak-anak anda sudah biasa dengan rutin ini, ia akan menjadi satu tabiat di mana mudah untuk mereka memastikan ruang tidur, bermain dan bekerja lebih bersih, segar dan kemas.

Biar anak-anak anda tahu bahawa anda sangat menghargai usaha mereka. Pujilah mereka apabila mereka memberi kerjasama. Kanak-kanak yang tahu menjaga bilik dan rumah mereka akan belajar tentang kemahiran hidup yang penting dan bernilai.

Cara mudah untuk membantu anak-anak anda mengemas bilik mereka Cara mudah untuk membantu anak-anak anda mengemas bilik mereka